Monday, June 24, 2019

Takaful Keluarga


Takaful keluarga menawarkan faedah perlindungan insurans hayat dan simpanan jangka panjang kepada anda. Anda atau waris anda akan mendapat manfaat dalam bentuk kewangan jika anda ditimpa kemalangan. Pada masa yang sama, anda akan menikmati simpanan persendirian jangka panjang kerana sebahagian daripada caruman anda akan didepositkan ke dalam sebuah akaun untuk tujuan simpanan. 

Anda boleh memilih sendiri tempoh matang pelan anda dan tidak ada pelucutan hak sekiranya anda membatalkan pelan takaful keluarga anda. Anda juga layak dikecualikan daripada cukai pendapatan jika anda menyertai pelan takaful keluarga.


🔘 CIRI-CIRI PENTING TAKAFUL KELUARGA
  • Terbuka kepada semua individu berumur di antara 18 sehingga 55 tahun.
  • Pilihan tempoh matang sendiri.
  • Tiada pelucutan hak jika berlaku pembatalan.
  • Kemudahan pengeluaran sebahagian daripada caruman.
  • Perkongsian lebihan dengan pengendali takaful.
  • Menyediakan simpanan dan pelaburan jangka panjang.


🔘 MEMILIH PELAN TAKAFUL

Jika anda berminat untuk mendapatkan takaful keluarga, pastikan anda:
  • Memilih pelan yang benar-benar sesuai dengan peringkat hidup anda.
  • Memahami skop perlindungan pelan tersebut.



🔘 JENIS TAKAFUL KELUARGA


Keluarga Biasa

➮ Individu
Ini termasuk pelan pelajaran, gadai janji, kesihatan dan ‘rider’. Anda akan menerima manfaat kewangan jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal, serta simpanan jangka panjang (pelaburan) dan keuntungan pelaburan yang akan diberikan sekiranya dituntut, matang atau serahan awal.

Kumpulan
Ini termasuk pelan pelajaran berkumpulan, perubatan berkumpulan, kesihatan dan ‘rider’. Jumlah minimum peserta dikehendaki untuk layak memasuki pelan ini. Anda akan mendapat perlindungan dalam bentuk manfaat kewangan sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.


Anuiti
Pelan yang memberi anda pendapatan tetap selepas anda bersara.


Berkaitan Pelaburan
Sebahagian daripada caruman anda akan digunakan untuk membeli unit-unit pelaburan seperti unit saham atau sekuriti pendapatan tetap. Perlindungan takaful merangkumi kematian dan hilang upaya kekal.


🔘 TERMA DAN SYARAT UTAMA

Anda harus memahami terma dan syarat yang digunakan di dalam pelan takaful keluarga yang anda beli. Sekiranya terdapat perkara yang tidak anda fahami, ajukan pertanyaan anda kepada ejen anda atau pengendali takaful. Oleh kerana sijil takaful merupakan kontrak yang sah, maksud-maksud yang termaktub di dalam sijil tersebut akan diguna pakai semasa membuat tuntutan.

Sebahagian daripada terma-terma penting yang digunapakai di dalam Takaful Keluarga ialah:

Caruman
Ini ialah ansuran caruman takaful anda yang dibayar kepada pengendali takaful. Anda boleh memilih untuk membayar caruman secara bulanan, suku-tahunan, separuh-tahunan ataupun tahunan.

Tempoh Tangguh
Anda akan dibenarkan tempoh tangguh selama 30 hari untuk menjelaskan bayaran ansuran caruman takaful. Jika anda meninggal dunia semasa tempoh tangguh, ansuran caruman takaful yang belum dijelaskan akan ditolak daripada jumlah manfaat takaful anda.

Tempoh Matang
Anda boleh memilih sebarang tempoh matang yang sesuai untuk keperluan anda. Julat tempoh ini ialah dari 10 tahun hingga 40 tahun.



🔘 MASIH KELIRU?

Anda harus memahami terma-terma yang digunakan di dalam takaful keluarga. Sekiranya ada terma atau perkara yang masih tidak difahami, ajukan pertanyaan anda kepada ejen atau pengendali takaful anda. Oleh kerana sijil pelan takaful anda merupakan kontrak yang sah, maksud-maksud yang termaktub di dalam sijil tersebut akan diguna pakai semasa membuat tuntutan.

No comments: